Jun 2, 2013

Hati Sendiri ATAU ???


Assalamualaikum....


Bercerita tentang hati lagi. Dalam meniti perjalanan hidup yang singkat ini perbagai manusia singgah di hati. Tua, muda, anak kecil mahu pun hampir sebaya. Lumrah  kehidupan bila dah rapat pasti jatuh sayang, pasti jatuh kasih pada insan yang rapat. Bagi anak kecil kita anggap mereka umpama anak. Bagi yang tua kita anggap sebagai ibu atau bapa kita sendiri. Bagi yang seumuran dengan kita pastinya kita anggap sebagai sahabat baik kita atau jika ada yang punya perasaan terlebih melimpah tu mungkin sampai ada perasaan cinta jika berlainan jantina.

Mudahnya menyerahkan perasaan kasih. Mudahnya kita meletakkan kasih pada insan sekeliling. Itulah namanya hati...amat lembut dan mudah tersentuh. Amat peka dan mudah simpati, bila ada yang sedih kita turut bersedih. Bila ada yang sengsara kita turut terseksa melihatnya. Sebaik mungkin kita mahu menjaga hati insan di sekeliling kita. Tak kira samada mereka sahabat baik, kekasih hati, jiran, adik angkat, adik beradik...siapa saja insan luar yang baru menjengah dalam kehidupan kita. Pastinya kita mahu mereka gembira bersahabat dengan kita. 

Adakala perasaan kita terluka dek perbuatan dan kata-kata mereka kita cuba ubati dalam diam. Kita tak mahu terputus hubungan hanya kerana salah faham. Kata-kata pedas bagai asid kita lebur dalam air kesabaran. Kata-kata tajam menusuk kalbu kita telan biarkan ia menumpul dalam dada kita...semuanya kita telan dengan harapan ukhwah tetap utuh. 

Namun ramai yang merintih. Hati saya siapa nak jaga? Perasaan saya ada orang peduli? Sampai bila saya harus mengalah? Perlukah saya diam kan diri sampai bila-bila? Semua merintih..pedihnya hati yang luka akibat perbuatan insan sekeliling. Sampai bila harus kita bertahan? Jangan biar luka menjadi barah kerana bila-bila ia pasti akan meletus dan parah jika dibiarkan. Hati yang terluka umpama cermin retak yang tak bisa dicantum kembali. Malah jika terusik kembali pastinya bisa melukakan walau dengan garis-garis keretakan itu.

Nota kaki: Jagalah hati sendiri kerana hanya kita yang mampu menceriakan dan membahagiakan hati kita. Buang jauh-jauh sahabat yang hanya melukakan hati dan perasaan kita. 


No comments:

Post a Comment